BUKU LOG
Dalam dunia kepengakapan,
sesebuah laporan kemajuan, pencapaian dan aktiviti bertulis atau dicatatkan
oleh seseorang Pengakap yang mengambil sesuatu ujian lencana atau anugerah
adalah dipanggil sebagai ‘Buku Log’.
Buku Log seharusnya mengandungi catatan rekod yang
diharapkan boleh dijadikan panduan, laporan dan juga pengesahan terhadap
penglibatan seseorang Pengakap itu. Ianya juga boleh merupakan rakaman
peristiwa yang berlaku dan catatan harian bagi sesuatu aktiviti Pengakap.
Sehubungan itu, seseorang pencatat buku log haruslah
mengasah kemahiran meneliti dan menghalusi pemahaman terhadap persekitarannya
serta mampu pula menzahirkannya dalam bentuk penulisan, lakaran mahupun bantuan
visual ataupun grafik.
Di dalam buku log ahli Pengakap, Pemimpin juga boleh
mencatat komen terhadap penulisan serta memberikan pengesahan terhadap ujian
yang diambil oleh ahli Pengakap tersebut.
NOTA:
Semasa Ujian Pentarafan Pengakap
Raja, buku log peserta akan diperiksa oleh Lembaga Pentaraf Pengakap Raja
Negeri untuk melihat sejarah serta penglibatan peserta dalam Kepengakapan
secara keseluruhan. Jadi, pemeriksa akan mengharapkan yang peserta akan melampirkan
atau melekatkan salinan sijil-sijil kelulusan bagi lencana dan ujian terbabit
di dalam buku log mereka.
Setakat ini, tiada had piawai bagi jumlah mukasurat sesebuah
buku log. Namun berdasarkan pengalaman, buku log yang baik hendaklah mempunyai
sekitar 200 – 300 helaian dan sebaiknya yang berkulit tebal agar ianya boleh
disimpan dengan baik pada satu jangka masa yang lama.
Satu persoalan yang sering ditimbulkan oleh Pemimpin
Pengakap kepada saya ialah ‘Berapa banyak Buku Log harus disediakan oleh setiap
Pengakap yang ingin mengambil ujian tertentu?’
Saya masih ingat sewaktu saya menjadi ahli Pengakap
Kanak-kanak dahulu, saya menyimpan semua rekod dan nota Pengakap saya di dalam
SATU buku log bersaiz 21 cm X 17 cm dengan ketebalan 600 mukasurat. Dan buku tersebut
juga saya gunakan sepanjang tempoh saya menyertai Pengakap Kanak-kanak sehingga
saya menamatkan persekolahan rendah saya. Maksudnya, kesemua catatan, nota dan
pengesahan Pemimpin kami terhadap Ujian Lencana Keahlian hingga Lencana Keris
Emas saya catatkan dalam satu buku. Itu merupakan kelaziman di kalangan
Pengakap pada masa tersebut.
Namun begitu, bukan senang untuk menjaga sebuah buku untuk
satu tempoh yang lama. Malah ianya berkemungkinan hilang dalam sesuatu program
atau aktiviti yang disertai oleh seseorang Pengakap. Kesannya, seseorang
Pengakap yang kehilangan buku lognya harus memulakan semula catatan buku lognya
dari awal. Nota tersebut mungkin boleh ditulis semula, tetapi bagaimana pula
dengan pengesahan Pemimpin yang telah diterimanya?
Berikut merupakan cadangan bagaimana pembahagian catatan
Buku Log bagi tajuk-tajuk asas yang sesuai dan mudah dijaga oleh seseorang
Pengakap.
UNIT PENGAKAP KANAK-KANAK
(1) Catatan Peribadi (Maklumat diri) + Lencana Keahlian - 1
buku
(2) Lencana Keris Gangsa - 1 buku
(3) Lencana Keris Perak - 1 buku
(4) Lencana Keris Emas + Rambu Pengakap Kanak-kanak - 1 buku
UNIT PENGAKAP MUDA
(1) Catatan Peribadi (Maklumat diri) + Lencana Keahlian - 1
buku
(2) Lencana Usaha - 1 buku
(3) Lencana Maju - 1 buku
(4) Lencana Jaya + Rambu Pengakap Muda - 1 buku
(5) Buku Log Pengembaraan - 1 buku
UNIT PENGAKAP REMAJA
(1) Lencana Ekspedisi - 1 buku
(2) Lencana Jayadiri - 1 buku
(3) Lencana Kegiatan - 1 buku
(4) Lencana Kemahiran - 1 buku
(5) Lencana Perkhidmatan - 1 buku
(6) Ujian Sikap - 1 buku
UNIT PENGAKAP KELANA
(1) Catatan Peribadi + Lencana Keahlian + Vigil + Pertabalan
- 1 buku
(2) Lencana-lencana Kemajuan - 1-5 buku
(3) Projek - 1 buku
(4) Program atau Aktiviti Khas (jika ada) - 1 buku
(4) Program atau Aktiviti Khas (jika ada) - 1 buku
Bagi semua unit-unit Pengakap di atas, program atau
aktiviti tambahan yang disertai seperti perkhemahan, kursus, jambori dan
sebagainya boleh dimuatkan dalam 1 buku berasingan.
Kegunaan Buku Log sebenarnya bukan hanya terhad kepada ahli
Pengakap yang ingin mengambil ujian. Pemimpin serta Pesuruhjaya Pengakap juga
masih boleh menggunakan kaedah buku log untuk merekodkan benda-benda seperti
berikut :
- Kemajuan atau prestasi ahli Pengakap di bawah
bimbingannya.- Kursus dan seminar yang dijalani
- Jambori dan perkhemahan yang dihadiri
- ‘Trip’ atau rombongan lawatan yang disertai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan